Ahad, 23 Januari 2011

PPSMI: Kerajaan diminta tidak layan desakan Page!

Kerajaan diminta tidak melayan permintaan Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (Page) yang mahu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dijadikan sebagai opsyen di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan.

Rata-rata mereka berpendapat, kerajaan perlu bertegas mengenai keputusan memansuhkan PPSMI dan menyedari tindakan Page itu hanyalah mewakili kumpulan elit di bandar, bukan keseluruhan rakyat di negara ini.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim berkata, pihaknya tetap menolak PPSMI dalam usaha memartabatkan penggunaan bahasa Melayu terutama di peringkat persekolahan.

“Kerajaan tidak perlu terpengaruh dengan desakan pihak-pihak yang mahu PPSMI diteruskan walaupun sebagai opsyen. Pelbagai kajian dan perbincangan telah dilakukan sebelum kerajaan membuat keputusan memansuhkan PPSMI berkuatkuasa 2012,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Page semalam mengulangi saranannya supaya PPSMI dijadikan sebagai opsyen di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan.

Perkara itu dinyatakan dalam memorandum yang diserahkan oleh Pengerusinya, Datin Noor Azimah Abdul Rahim kepada Datuk Seri Najib Tun Razak yang diterima oleh Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri, Mohamad Amir Harun di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Mengulas lanjut, Jais berkata, GPMS menasihatkan Page supaya tidak masuk campur sebaliknya membiarkan kerajaan membuat keputusan berhubung PPSMI.

Ketua Media Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Borhan Md. Zain berkata, pelaksanaan PPSMI hanya memberi keselesaan kepada kelompok bandar manakala pelajar luar bandar akan terus tertekan sehingga mewujudkan ketidakseimbangan bagi orang Melayu itu sendiri.

Juragan..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan