Rabu, 22 Disember 2010

Muhyiddin minta sekolah tidak kenakan bayaran tambahan tinggi!

Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan pihak sekolah supaya tidak mengenakan bayaran tambahan yang tinggi kepada pelajar yang akan memulakan sesi persekolahan baru pada 2 dan 3 Januari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, selaras dengan pekeliling yang telah dikeluarkan Kementerian Pelajaran, bayaran itu hanya boleh dikenakan setelah mendapat persetujuan daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta diluluskan oleh Jabatan Pelajaran negeri.

"Kita jangan bebankan ibu bapa dengan pembayaran yang tinggi kerana ia boleh menyebabkan masalah kepada keluarga.

"Kalau pihak sekolah perlu mendapatkan sedikit sumbangan daripada ibu bapa untuk menambah baik lagi proses pembelajaran, maka ia hanya boleh dibuat menerusi mesyuarat PIBG dan mendapat kelulusan Jabatan Pelajaran kita di peringkat negeri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penggal Persekolahan 2011 di pejabatnya di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihaknya telah membuat persiapan secukupnya bagi menghadapi sesi persekolahan 2011 yang akan bermula pada 2 Januari bagi Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala negeri lain pada keesokan harinya.

Beliau berkata, takwim persekolahan 2011 juga memperuntukkan jumlah hari persekolahan sebanyak 210 hari dan cuti penggal selama 78 hari.

"Dijangka seramai 457,760 murid tahun satu dan 474,803 pelajar tingkatan satu akan memulakan sesi persekolahan mereka pada 2011," katanya.

Muhyiddin berkata, pihaknya sudah membekalkan 185,125 set kerusi meja di seluruh negara, termasuk sebanyak 6,012 set di Sabah yang sebelum ini dilaporkan mengalami masalah kekurangan bekalan.

"Begitu juga bekalan buku teks. Sebanyak 15.6 juta naskhah buku bagi semua jenis sekolah turut dihantar," ujarnya.

Katanya, dianggarkan seramai 229,705 guru akan mengajar di sekolah rendah manakala sekolah menengah seramai 164,824 guru.

"Kekosongan 4,653 jawatan guru sekolah rendah dan 3,720 jawatan guru sekolah menengah akan diisi oleh guru sandaran dengan kadar segera," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin berkata, dua dasar baru akan dilaksanakan berkuat kuasa Januari ini iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) bagi murid tahap satu dan 'satu murid satu sukan.'

Juragan..

Khamis, 13 Mei 2010

Peranan guru bagai 'matahari'.

HARI guru datang lagi. Tahun lalu sambutannya di Kuala Terengganu dan tahun ini di East Coast Mall, Kuantan, Pahang bermula dari 13-16 Mei 2010. Sambutan ini adalah kali ke-39 diraikan di negara bertuah ini.

Sambutan Hari Guru bermula 1972 dengan tema: ''Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara'' dan pada tahun 2010 temanya ''Guru Pembina Negara Bangsa''.

Dalam hati kecil bekas guru warga emas ini, 40 tahun telah mengabdi diri dalam alam perguruan dari tahun 1952-1992, merasa seronok dan terharu bila saja menjelang hari meraikan para guru.

Rasa terharu di hati terutama bila menoleh ke belakang betapa sulitnya para pendidik dulu ketika berkhidmat untuk memberi pelajaran dan pendidikan kepada anak bangsa.

Pepatah lama ''Guru ibarat lilin, membakar diri menerangi orang lain'' bermaksud guru dulu terpaksa menempuh pelbagai kesukaran terutama berkhidmat di era kemerdekaan negara sebelum 31 Ogos 1957.

Ada yang terpaksa berjalan kaki untuk bertugas, dan ada terpaksa membimbit barang makanan untuk seminggu jika sekolah jauh dari kedai atau bandar. Terpaksa pula menyewa pondok buruk yang ditinggalkan untuk tempat tinggal, terpaksa menggali perigi sendiri kalau jauh dengan sungai.

Terpaksa mengajar di bangsal pisang sesikat atau di bawah rumah sekolah yang tinggi jika kelas tak cukup di bahagian atas sekolah.

Mereka juga terpaksa hanya menggunakan buku teks sekolah yang usang. Guru yang rajin menimba ilmu untuk murid mereka membelinya sendiri bila sekali sekala turun ke bandar.

Bagi orang sekarang atau lebih tepat lagi para pendidik sekarang, itu cerita lama yang sudah berkubur dan tak perlu di ungkit-ungkit lagi. Hanya membuang masa untuk dicoretkan atau dibacakan.

Tapi bagi yang mahu memikirkan untuk dijadikan sebagai iktibar, betapa senangnya para pendidik sekarang setelah lebih 50 tahun negara mencapai kemerdekaan. Hanya dapat saya unggapkan, kalau susah pun para pendidik menghadapi kerenah masyarakat dan disiplin pelajar sekarang, boleh berkata bahawa, mereka susah dalam senang. Itulah saya mengulang kata peribahasa yang tersebut di atas.

Tahun lalu saya menulis dalam akhbar ini pada 16 Mei 2009. Saya ada menyatakan bahawa pepatah di atas perlu ditambah dengan (dua lagi) pepatah lain, bagi melengkap peranan guru dalam masyarakat kini iaitu "Guru ibarat bunga, mewangikan dirinya di samping mewangikan orang lain''. Dan satu lagi, ''guru ibarat matahari, menerangi dirinya di samping itu menerangi orang lain."

Bunga sifatnya sangat sentimental. Tiap-tiap sekuntum bunga biasanya adalah wangi. Bagi dirinya wangi dan bagi orang yang menciumnya berbau harum dan wangi. Bunga yang berwarna-warni diibaratkan sebagai para guru yang disukai oleh orang ramai kerana budi pekertinya yang menarik.

Pokok bunga tersebut akan berbunga silih berganti, mengeluarkan benih yang akan menyambung hayatnya. Bagi guru begitulah hendaknya sentiasa mewangi anak bangsanya dan tak lupa lebih-lebih lagi anak mereka sendiri.

Boleh difikirkan untuk diambil iktibar oleh guru-guru sekarang walaupun mereka sudah mencapai kelulusan yang tinggi dalam ilmu perguruan.

Tahun 1960-an dan 1970-an, mereka telah mula merebut tempat untuk berjaya dalam pendidikan sebagai salah satu cara mengubah status di kalangan mereka sendiri atau dalam masyarakat secara keseluruhannya. Mereka memperbaiki diri dan anak-anak mereka menerusi pelajaran yang masih belum terbuka luas.

Bagi guru-guru yang telah mendapat kelulusan SPM atau STPM dengan cara belajar sendiri, cuba pula untuk memohon masuk ke universiti terutama Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia atau Universiti Sains Malaysia ataupun belajar melalui kursus gaya pos dari Univasitas Indonesia Jakarta (UNAS) anjuran Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB).

Saya sarankan juga bahawa guru juga boleh diibaratkan atau berperanan sebagai 'matahari'. Guru ibarat sebagai matahari, menerangi dirinya, di samping menerangi orang lain. Walaupun jauhnya matahari 93 juta tahun perjalanan, ia masih dengan kuasa Allah menerangi alam dan makhluknya.

Tahun 1980-an hingga 1990-an adalah zaman sains dan teknologi serta Internet. Para pendidik yang mengikut perubahan terpaksa pula melengkapkan diri di alam siber ini. Kalau tidak mereka akan ditinggalkan zaman yang ligat berputar di seluruh dunia.

Matahari dianugerahkan Allah sumber kehidupan termasuk dalam pendidikan. Rata-rata para pendidik kita mahir dalam melayari internet untuk membimbing para pelajar dan anak-anak mereka.

Sebagai warga emas, saya masih berminat dengan komputer dan pendidikan semasa, apatah lagi para pendidik sekarang yang saya percaya lebih berminat komputer untuk diri, anak bangsa serta anak-anak sendiri. Terangi mereka yang diamanahkan kepada guru dengan akal budi yang luhur di samping dapat memilih mana yang buruk dan yang baik.

Di zaman pendidikan saya, disiplin amat dipentingkan. Disiplin bermakna mengikut peraturan yang ditetapkan, bukan tergambar hanya merotan, bila sahaja disebut disiplin. Pendidikan sekarang berkonsepkan kaunseling.

Bagi saya kaunseling bermakna 'membimbing'. Membimbing anak bangsa kita dengan semangat (sifat) yang baik. Bila digabungkan disiplin dengan bimbingan, sepatutnya kita akan membuahkan manusia yang berbudi pekerti mulia dan berpelajaran tinggi.

Sepatutnya jangan adakan 'kuota' untuk guru disiplin dan kaunseling di sekolah. Adalah wajar tiap-tiap diri guru sekarang menjadi dan sanggup bertindak sebagai guru disiplin dan kaunseling.

Dalam kita memperkatakan konsep disiplin dan kaunseling ini, jangan sekali-kali lupa menggunakan pendekatan surah Al-Isra' ayat 23 dan surah Loqman ayat 18, tentang pembentukan sikap anak didik kita. Ringkasnya dua ayat di atas mengenai taat kepada Allah, Rasul dan ibu bapa di samping tidak bersikap sombong dan memandang rendah orang lain.

Dalam mengarah tuju pendidikan sekarang, jangan kita lupa sumbangan jasa Allahyarham Aminuddin Baki dan Pendita Zainal Abidin Ahmad (Zaaba).

Dalam sejarah, orang dulu adalah cermin kita sekarang dan orang tua sepatutnya menjadi tempat rujukan kita semua.

Juragan..

Ahad, 2 Mei 2010

Peluang guru menulis!

Mok Sheau Bin menunjukkan koleksi bahan terbitan syarikatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pendidik yang berminat untuk menghasilkan buku dalam bidang pendidikan, pengurusan dan pentadbiran boleh menemui Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd. untuk merealisasikan impian anda.

Pengarah Urusannya, Mok Sheau Bin berkata, syarikatnya bersedia menjadi platform kepada pendidik yang berpengalaman dan pakar dalam bidang masing-masing untuk diterbitkan sama ada dalam bahasa Melayu, Inggeris atau Mandarin.

Menurut beliau, mereka yang berminat boleh bertemu dengannya atau wakil syarikat di Festival Hari Guru (FHG) 2010 anjuran Kumpulan Utusan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran di East Coast Mall, Kuantan, Pahang pada 13 hingga 16 Mei ini.

Penyertaan itu, ujar Sheau Bin, akan mengukuhkan lagi penerimaan masyarakat umum dan warga pendidik khasnya terhadap produk terbitan syarikat yang ditubuhkan pada 2005 itu.

"Pada peringkat awal kami hanya menerbitkan buku-buku bagi memenuhi keperluan guru pelatih sahaja tetapi kini terdapat lebih daripada 100 tajuk dalam pelbagai peringkat pendidikan, pengurusan dan pentadbiran bermula dari sekolah menengah sehingga ke tahap kolej dan universiti," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Tambahnya lagi, melalui penglibatan dalam FHG, syarikat itu berharap dapat memberi sumbangan dalam bidang pendidikan negara terutamanya dalam penerbitan buku berbahasa Melayu.

Pada masa sama, kata Sheau Bin, pihaknya berharap usaha ini akan menarik minat lebih ramai guru dan pensyarah untuk turut sama memberi sumbangan idea dan sukatan dalam menerbitkan buku sekali gus meningkatkan tahap profesionalisme mereka.

"Ia juga akan membantu dalam memberi peluang kepada guru-guru untuk meneruskan pembelajaran sepanjang hayat selain dapat meningkatkan mutu pendidikan negara," jelas Sheau Bin.

Penerbitan Multimedia, jelasnya, amat menggalakkan pensyarah khususnya dari Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) untuk berkarya menghasilkan buku-buku bermutu yang memenuhi aspirasi bakal guru, pendidik dan generasi 1Malaysia.

Selain itu, katanya, buku-buku dan bahan rujukan yang diterbitkan memenuhi keperluan semua peringkat perguruan dari Gred 17 hingga Gred 54 yang lengkap dan terbaru serta menepati format peperiksaan terkini.

Produk lain terbitannya termasuk buku Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), komik subjek Sejarah Tingkatan satu hingga lima, set perpustakaan, bahan sokongan pembelajaran berbentuk perisian multimedia, bahan rujukan dan latihan peperiksaan guru di samping pelbagai rangkaian tajuk buku pendidikan bagi pelajar IPGM, institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan IPT swasta.

"Bahan rujukan dan set perpustakaan yang dikeluarkan sesuai digunakan oleh guru di sekolah, Jabatan Pelajaran Daerah dan Jabatan Pelajaran Negeri yang boleh dijadikan bahan bacaan umum dan khusus untuk tujuan pembelajaran sepanjang hayat," ujarnya.

Beliau memberitahu, Penerbitan Multimedia turut berjaya memenuhi keperluan para penjawat awam khasnya dari Kementerian Pelajaran Malaysia dalam aspek kemajuan kerjaya.

"Kami diiktiraf sebagai penerbit bahan rujukan peperiksaan PTK yang produktif dan berautoriti," katanya.

Juragan..

Isnin, 26 April 2010

PIBGN gesa wujud skim gaji pengawal sekolah!


Ramai individu tak berkelayakan jaga keselamatan murid

Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) mencadangkan satu skim penyelarasan gaji untuk pengawal keselamatan sekolah diwujudkan bagi memastikan hanya yang terlatih dan mempunyai kelayakan secukupnya dipilih.

Pengerusinya, Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, mendedahkan ketika ini kebanyakan pengawal keselamatan sekolah hanya dipilih secara tangkap muat, tanpa mengira latar belakang dan fizikal individu sehingga mendatangkan pelbagai masalah kepada pihak sekolah dan ibu bapa.

Katanya, pemilihan pengawal keselamatan perlu diberi perhatian serius kerana tanggungjawab yang digalas adalah besar membabitkan keselamatan warga sekolah, selain ibu bapa menaruh harapan besar terhadap pengawal sekolah.

“Namun, senario yang berlaku hari ini adalah berbeza kerana mereka yang dipilih dibuat tanpa penelitian terlebih dulu atau mengira faktor penting termasuk umur, fizikal dan kelayakan pendidikan.

“Mereka yang dipilih bergantung sepenuhnya kepada guru besar dan pengetua sekolah masing-masing. Ada dipilih di kalangan penduduk sekampung hanya kerana mengenali guru di sekolah walaupun umur sudah dikategorikan sebagai warga emas,” katanya kepada Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kebanyakan ibu bapa mendakwa sekolah sudah menjadi lokasi tidak selamat untuk anak-anak mereka selepas satu insiden membabitkan murid Tahun Satu dicabul pengawal keselamatan sekolah sendiri di Rawang, baru-baru ini.

Mohamad Ali berkata, masalah yang ditimbulkan pengawal keselamatan tidak akan berkesudahan sekiranya satu skim penyelarasan gaji tidak diwujudkan oleh kerajaan seperti yang dilakukan pengawal keselamatan di universiti.

“Bayangkan, sekurang-kurangnya 7,000 pengawal keselamatan membabitkan sekolah rendah dan menegah di negara ini, pemilihan dan gaji mereka ditentukan sekolah masing-masing tanpa pemantauan Kementerian Pelajaran.

“Justeru itu, sekiranya skim baru diwujudkan, gaji dan pengambilan akan melalui Kementerian Pelajaran dan mereka yang dipilih semestinya mempunyai kelayakan secukupnya termasuk menempatkan anggota Rela di sekolah,” katanya.

Juragan..

Kukuh institusi keluarga!


Berita seorang pelajar sekolah dirogol di dalam bilik darjah oleh rakan sekolahnya, pelajar remaja dirogol sekumpulan lapan orang dan beberapa kes bunuh diri dari kalangan orang Melayu Islam amat mengganggu kita kebelakangan ini. Terbaru, remaja belasan tahun didapati menggantung diri.

Melihat senario itu, nampaknya bilik darjah kini tidak lagi selamat. Rakan-rakan sekolah tidak lagi boleh dipercayai. Agama tidak lagi menjadi pendinding dalam tindakan. Tekanan perasaan dan perasaan keterasingan membawa padah apabila nyawa sendiri menjadi taruhan.

Tidak perlu menuding jari. Yang terjadi telah terjadi. Tidak mustahil esok, ahli keluarga terdekat kita yang menjadi mangsa. Tatkala itu, kita akan tahu betapa sakit, pedih dan sedihnya berhadapan dengan situasi itu.

Oleh kerana itu, semua pihak harus prihatin terhadap apa yang terjadi. Ini adalah antara isu-isu yang mungkin tidak terfikir dek akal kita selama ini. Kita hanya membaca dan menggeleng kepala terhadap apa yang terjadi kepada orang lain tanpa kita duga yang ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

Apakah tindakan yang wajar kita sama-sama lakukan selepas ini? Pertama, ia harus bermula dari dalam rumah. Kukuhkan institusi keluarga, tanamkan perasaan kasih sayang, sikap prihatin dan melihatnya sebagai amanah Tuhan yang tidak harus diabaikan. Kesibukan bagaimana sekali pun dalam mencari rezeki bukan alasan untuk abaikan keluarga.

Anak-anak lahir dari kasih sayang sepasang suami isteri, walaupun terdapat juga yang lahir secara terpaksa atau tidak diminta. Dalam sebuah unit keluarga, biasanya anak lahir daripada hasrat bersama.

Seperti mana kita menghargai kasih sayang ibu bapa dan keluarga, maka kita juga bertanggungjawab dan memegang amanah besar dalam memberikan dan berkongsi kasih sayang dan amanah terhadap anak-anak kita.

Menyayangi anak-anak dan keluarga bukan sahaja bermakna memenuhi keperluannya, tetapi juga mengawasi, mengambil berat, mengambil tahu dan sentiasa tahu perkembangan anak-anak dan ahli keluarga.

Ini bermakna, ibu bapa berperanan untuk memastikan anak-anak dan anggota keluarganya sentiasa dalam sejahtera, malah juga mensejahterakan anggota masyarakat seluruhnya.

Selain itu, para pemimpin institusi yang ada harus memainkan peranan yang sewajarnya. Bukan sahaja institusi sekolah, malah juga institusi agama dan institusi-institusi lainnya.

Institusi sekolah dan warganya harus tidak sentiasa bersikap menghukum, tetapi mendidik. Guru-guru harus menjadi role model kepada anak-anak. Agak malang apabila sesekali terdengar berlaku pergaduhan guru-guru yang disaksikan murid dan pelajar, sikap guru yang tidak sesuai dengan institusi sekolah dan pendidikan dan pelbagai isu lain.

Kita faham tekanan yang dihadapi oleh para pendidik kita. Malah kita juga melihat pelbagai ganjaran yang diberikan untuk membantu para pendidik kita. Namun yang paling penting adalah profesionalisme guru dan roh 'pendidik' dan 'guru' harus diberikan keutamaan.

Guru dan pendidik bukan lagi seperti mana zaman tahun 60-an yang berkhidmat secara sukarela dan mempunyai minta mendalam terhadap pembangunan ilmu anak bangsanya.

Justeru, institusi sekolah dan pendidikan harus membangunkan sistem yang berupaya mendidik anak-anak kita, sehinggalah ke institusi pengajian tinggi untuk memahami dan menghayati kepentingan terhadap isu-isu yang berkaitan sama ada secara formal atau pun di luar bilik darjah.

Malah di institusi pengajian tinggi kita, aktiviti-aktiviti pelajar harus menumpukan kepada usaha ini melalui begitu pertubuhan dan persatuan yang ada. Anak-anak muda kita harus diberikan kefahaman mendalam tentang kesan dan natijah yang berlaku dalam setiap tindakan yang dilakukan secara jangka panjang.

Begitu juga dengan institusi agama termasuk institusi masjid yang ada hampir di setiap mukim dan kampung di negara kita. Institusi agama harus berupaya untuk berjalan seiring dengan anak-anak kita tanpa sebarang prejudis.

Biar bagaimanapun tingkah laku anak-anak kita, tanpa mengira sesiapa, mereka perlu dibuat kawan dan dibimbing.

Jiwa anak-anak dan remaja harus dilihat dalam konteks keremajaan dan zaman yang dilalui tanpa perlu membandingkan mereka dengan zaman dan tingkah laku kita pada zaman kita sebagai anak-anak dan remaja.

Para imam, ustaz dan cerdik pandai agama kita harus sentiasa mempunyai empati yang tinggi terhadap jiwa anak-anak kita. Menyalahkan mereka, memandang buruk dan melihat mereka dengan pandangan hina dan menghukum, tidak akan menyelesaikan masalah.

Lihat bagaimana stigma yang ada dalam masyarakat terhadap para penagih dadah serta mereka yang menghidapi HIV/AIDS yang dipandang hina dan tidak dipedulikan oleh anggota masyarakat dan keluarga sehingga menyebabkan ramai yang terus hidup dalam dunianya sendiri.

Kesilapan yang masyarakat lakukan adalah kita enggan berkawan dan memahami mereka. Dalam banyak keadaan, anak-anak dan remaja, malah juga orang dewasa hilang haluan dan pertimbangan apabila tiada tempat mengadu, tiada teman untuk mendengar dan berkongsi masalah, manakala kemurungan menjadi antara petanda awal yang menjerumuskan mereka dalam membuat keputusan yang mungkin di luar jangkaan kita.

Selain itu, badan-badan sukarela perlu menggerakkan tenaga dan usaha mereka untuk bersama-sama mendekati anak-anak, remaja, malah mereka yang berhadapan dengan masalah.

Di negara ini, kita mempunyai banyak badan sukarela yang berteraskan pelbagai kepentingan dan kumpulan masyarakat. Dalam banyak keadaan, cadangan yang diberikan adalah penguatkuasaan dan pengukuhan pelbagai agensi kerajaan.

Namun, keprihatinan dalam mengurangkan masalah yang ada harus digerakkan oleh badan-badan sukarela dan anggota masyarakat seluruhnya. Konsep gotong royong, berderau, khidmat masyarakat dan pelbagai lagi adalah antara aktiviti yang harus digerakkan secara besar-besaran.

Setiap pihak harus melihat isu-isu sosial sebagai masalah bersama yang harus diselesaikan bersama. Ia adalah isu bersama yang patut melibatkan semua pihak, bukan khusus kepada kumpulan tertentu.

Pada masa yang sama, agensi-agensi amanah harus terus memberikan sokongan dalam semua usaha yang dilakukan secara berterusan. Mereka yang berada di agensi-agensi amanah perlu menunaikan amanah yang diberi tanpa putus asa demi mewujudkan kesejahteraan masyarakat pada masa depan.

Kes rogol, buang bayi, bunuh diri serta jenayah-jenayah lainnya hanya dapat dikurangkan dengan adanya tindakan holistik yang melibatkan semua pihak. Ia bukan hanya tanggungjawab pihak tertentu, tetapi tanggungjawab kita semua.

Dalam perkara itu, ibu bapa dan keluarga adalah unit terpenting dalam memastikan kesejahteraan semua, sebagai pemerhati sekali gus mengambil tindakan awal untuk mengelakkan masalah menjadi lebih runcing. Kasih sayang yang mendalam perlu menjadi alat utama untuk mengikat kita sebagai satu unit sosial yang kukuh dalam menghadapi apa jua keadaan yang berlaku.

Anak-anak malah kita sendiri mungkin melakukan kesilapan, tetapi dengan adanya bimbingan dan kasih sayang yang mendalam, ia boleh diselesaikan supaya anak-anak tidak terus hanyut serta mengambil keputusan yang menimbulkan kesusahan kepada dirinya, mahu pun mereka yang berada di sekelilingnya. Kasih sayang harus dikongsi dan dirasai bersama.

Juragan..

Selasa, 6 April 2010

Bila guru luah rasa...!


Tabik dan salam semua guru.

Dengan rasa rendah diri, saya memohon maaf sekiranya berlaku kesilapan fakta ,dalam kolum Perspektif Mysekolah Isnin lalu, berjudul Mencemburui Gaji Guru. Saya menerima puluhan warkah e-mel daripada guru, ada pro dan kontra. Ada yang menghentam peribadi saya 360 darjah tanpa saya sempat membela diri - tanpa belas kasihan. Namun saya tidak menyimpan sebarang sentimen.

Tidak sangka saya akan guru-guru kita yang pandai menulis dalam nada sebegitu keras. Tetapi ada juga yang bersetuju dengan pendapat saya itu, dan mahu saya terus membongkar dan melondehkan hakikat.

Tapi dalam diri saya masih mempunyai kewarasan pertimbangan. Maka saya berpendapat kalau saya menyiarkan pandangan yang saling bertentangan itu, tentu masyarakat akan menjadi tambah keliru - mana satu yang betul dan yang mana satu salah tentang guru-guru kita ini.

Namun begitu, saya tetap percaya bahawa guru berhak mendapat apa yang setimpal dengan beban tugasan mereka - khususnya guru yang mengajar, yang memimpin, yang mendidik, dan yang menjadi lilin kepada kesamaran dan kegelapan di pedalaman - walau mereka sendiri terpaksa bergelap.

Keikhlasan, keberanian pengorbanan, perjuangan dan kemahuan yang tidak boleh diukur dengan apa-apa juga alat pengukur itu hanya boleh dihargai dengan ucapan terima kasih dan syabas.

Mungkin sedikit penghargaan boleh diluahkan melalui sejambak bunga, kad ucapan, ciuman pada tangan atau persembahan penghargaan pada hari-hari yang istimewa seperti Hari Guru, hari lahir, perayaan dan sebagainya.

Sesungguhnya, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Berikut saya petik sebahagian daripada reaksi e-mel:

Sepucuk e-mel daripada Shafarizan Mohamed, eddeved@hotmail.com berkata, gaji pokok permulaan guru DG1 P1T4 bersamaan RM1,967.82, bukan RM2,500 sehingga RM2,700.
Kata beliau, tidak adil membuat 'pukul rata' bahawa semua guru yang ada di Malaysia ini tergila-gila kepada kenaikan pangkat dan kenaikan gaji.

''Sebelum saudara terbawa-bawa dengan tuduhan ini, saya cadangkan agar saudara memohon untuk kursus Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) sekiranya saudara berumur belum 35 tahun dan masuk ke mana-mana institut perguruan kalau nak tahu macam mana kami menghadapi perkara-perkara yang tak masuk akal dan mencabar," tegas beliau.

Tambah beliau: ''Saya bersyukur dan berterima kasih akhirnya kepada bapa saya kerana memaksa saya memilih kerjaya sebagai guru kerana setelah setahun saya menjadi guru, baru saya memahami maksud saya itu. Tugas sebagai seorang guru bagi saya lebih menyeronokkan kerana:

i) kerja kurang daripada lima jam,
ii) tidak terlalu pening kepala dan
iii) tiap-tiap hari jumpa murid yang comel dan petah bercakap menyebabkan kita bersemangat nak mengajar mereka."

Tambah beliau: ''Bagi saya biarlah akaun gaji duniawi saya tidak seberapa asalkan akaun gaji akhirat saya melimpah ruah kerana saya percaya Allah sahaja yang boleh menilai kerja saya dan keikhlasan saya."

Elia Hasimi di eliahasimi@yahoo.com pula menceritakan susahnya bertugas di pedalaman.

Berikut ialah luahan isi hati beliau.

''Saya sendiri seorang guru dan bertugas di kawasan pedalaman. Kalau hendak ke sekolah saya, kita akan naik van dari bandar S ke bandar K. Selepas itu, kita perlu naik perahu selama lima minit untuk menaiki van ke tebing sungai yang satu lagi selama 15 minit. Setelah sampai di situ, kita perlu naik long boat selama satu jam ke sekolah. Kami hanya keluar sekali seminggu untuk mendapatkan bekalan makanan.

Hanya beberapa rumah staf di sini mempunyai Astro. Itu pun bukan disediakan oleh kerajaan. Saya pernah pada satu ketika dahulu memiliki antena televisyen biasa. Semua ditanggung sendiri. Untuk pengetahuan saudara, bukan senang bertugas di kawasan seperti ini lebih-lebih lagi dalam kalangan guru beragama Islam. Oleh itu, saya rasa usaha yang bagus kerajaan sediakan rumah untuk kami berteduh.

Yang paling kelakar saya baca tulisan saudara ialah berkenaan dapur pun disediakan oleh kerajaan. Sebenarnya dapur dan tong gas kami beli dan bawa sendiri dari pekan. Bukan mudah bertugas di tempat ini lebih-lebih lagi tiada coverage (liputan) untuk talian telefon. Kalau nak bertelefon, kena panjat bukit yang tinggi baru dapat coverage.

Anda tidak berada di tempat kami, dan anda tidak rasa apa yang kami rasa."

Adni Atha e-mel athaadni@yahoo.com.my dalam coretannya bertajuk Pendidik Pedalaman Wajar Di Hormati menegaskan, setelah 20 tahun menabur bakti, hampir 13 tahun saya mengajar di pedalaman, tiada yang percuma, di pedalaman, semuanya memerlukan perbelanjaan yang besar. Semua perkakas terpaksa dibeli, seperti katil, tilam, apatah lagi jika hendak memasang Astro.

Jangan menyalahkan guru atas kurniaan gaji yang Kementerian Pelajaran berikan, tetapi carilah mengapa pihak KPM memberi elaun pedalaman kepada warga pendidikan di pedalaman.
Berkenaan akujanji pula, pengirim e-mel itu berkata, ''bagi guru-guru yang baru dilantik, mereka diwajibkan 'bersumpah' untuk menyimpan rahsia serta menjalankan tugas dengan penuh amanah dalam borang akujanji.

Selain daripada itu, para guru juga diberikan sasaran tertentu seperti Sasaran Kerja Tahunan (SKT) yang perlu dicapai untuk digunakan oleh ketua jabatan (Guru Besar/Pengetua) menilai prestasi dipenghujung tahun dalam borang Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT).
Hal ini bermakna semua warga pendidik sudah ada akujanji atau Bai'ah seperti yang saudara sebutkan."

Tambah pengirim e-mel itu: ''Kami warga pendidik amat mengharapkan sokongan berterusan daripada semua pihak dalam menjayakan hasrat murni kerajaan untuk mewujudkan rakyat celik huruf dan angka melalui NKRA Pendidikan."

Pengirim e-mel fazlinfy@gmail.com mengirim e-mel dalam bahasa Inggeris dan saya alih bahasa. Lebih kurang seperti berikut: ''Saya tinggal di dalam rumah yang disediakan oleh kerajaan.

Rumah itu kosong, kecuali almari pakaian di setiap bilik dan kabinet dapur. Tiada katil, tiada tilam dan sudah tentulah tiada peti televisyen. Jika seorang guru baru masuk ke sebuah rumah yang sudah lengkap, maka itu adalah titik keringat penghuni guru sebelum mereka.

Saya terpaksa menunggu enam bulan sebelum saya memiliki televisyen dan dekoder. Saya terpaksa tidur di atas tilam angin. Saya tinggal bergelap bila solar hybrid mengalami kerosakan yang teruk, dan solar hybrid kadang kala mengalami kerosakan menyebabkan kami tinggal dalam kegelapan - sehinggalah ke hari ini."

Katanya: ''Sekolah di pedalaman masih kekurangan guru dan kakitangan. Guru menjalankan tugas pentadbiran untuk melicinkan perjalanan harian. Sekolah di bandar mempunyai juruteknik dan pustakawan mereka sendiri. Tetapi di pedalaman tidak ada semua itu. Guru terpaksa menjadi juruteknik dan pustakawan."

Ada Guru Pusat Sumber terpaksa mengajar 37 waktu subjek English kerana kekurangan guru English. Dengan 37 waktu mengajar, maka guru-guru ini hanya tinggal satu masa senggang setiap hari, menyebabkan tugas pentadbiran di perpustakaan menjadi perlahan."

Kata beliau: ''Mengajar di pedalaman dengan murid yang sedikit lebih susah daripada mengajar sebuah kelas dengan 40 orang murid, kerana faktor kurang pendedahan dalam kalangan murid. Dengan kepadatan waktu mengajar tujuh hingga lapan waktu sehari menyebabkan cikgu kehabisan tenaga dek keletihan pada penghujung waktu dalam sehari."

Tentang elaun pedalaman, katanya, bila tinggal di pedalaman banyak duit dihabiskan untuk pengangkutan.

''Ambil contoh berikut, seorang guru yang ingin mengeluarkan duit terpaksa ke Sandakan kerana tiada mesin ATM di Beluran. Kos pengangkutan dengan bot dari Kampung Bukit Besi ke Beluran berharga RM25 seorang. Kalau guru ini tidak mempunyai kereta, dia terpaksa membayar RM18 lagi untuk ke Sandakan.

Kos yang sama terpaksa ditanggungnya apabila tugasnya selesai dan hendak berpatah balik ke Kampung Bukit Besi. Kesemuanya akan menelan kos RM86. Kesemua ini akan menyebabkan elaun pedalamannya habis. Hal ini belum termasuk tiket penerbangan yang mahal jika hendak pulang ke Semenanjung untuk bertemu yang tersayang."

Seterusnya beliau bertanya: ''Encik Wahid, kalau anda cemburu dengan gaji dan elaun guru pedalaman, kenapa tidak saudara datang dan tinggal di pedalaman, dan mengajar di sini, Anda juga akan mendapat insentif. Apa kata saudara?"

Berikut ialah jawapan saya, di sudut hati saya, saya sangat mencintai profesion perguruan. Jika diberi peluang mengapa tidak? Jika ada kesempatan dan ruang, saya akan siarkan lagi beberapa e-mel minggu hadapan di ruangan istimewa Mysekolah ini.

WAHID HASHIM
pendidikan@utusan.com.my

Juragan..

Mencemburui gaji guru!

SAYA mencemburui guru muda kerana gaji permulaan mereka sekarang berada dalam ranking ketiga selepas doktor dan jurutera awam. Dengan gaji permulaan sebanyak RM2,500 hingga RM2,700 - termasuk beberapa elaun - maka gaji pokok mereka sebenarnya mengatasi sebahagian besar pendapatan eksekutif syarikat swasta.

Kalau di pedalaman, mereka cuci kaki kerana kerajaan menyediakan rumah, televisyen katil tilam, dapur, malah khabarnya set televisyen dan 'mangkuk' Astro di bumbung! Bukan itu sahaja, guru juga ada elaun khas, dengan jumlahnya bergantung kepada tafsiran pedalaman tempat mereka mengajar.

Memang mereka bekerja keras. Tetapi, seribu satu pengumuman tentang kenaikan, elaun, kebajikan, kemuliaan, pengiktirafan dan penghormatan kepada golongan guru sepatutnya telah meletakkan profesion itu pada tahap yang sepatutnya sekarang.

Seperti kata Abraham Lincoln: ''Jangan fikir apa yang negara boleh beri kepada kita, tetapi fikirkanlah apa sumbangan yang boleh kita berikan kepada negara." Maksud tokoh itu, jangan seperti seekor burung yang keluar pagi balik petang, sekadar mahu mengisi perut sendiri dan untuk anak-anaknya. Berfikirlah lebih daripada itu. Perjuangan lebih penting.

Jadi, apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu bersemuka dengan ahli kesatuan dan beberapa guru yang terlalu ghairah memperjuangkan nasib guru, maka saya ingin mengingatkan 'kepala-kepala' persatuan dan kesatuan ini supaya bersedia dengan fakta dan hujah yang waras dan logik atau laras senapang mungkin akan menghala ke arah kepala anda sendiri!

Dua isu besar yang selalu dibangkitkan ialah kerja perkeranian nan remeh temeh sehingga menambah beban seorang guru, dan kedua kenaikan gred atau mata gaji yang terlalu lembap oleh guru, apabila dibandingkan dengan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD).

Memang isu yang pertama selalu bermain di bibir, tetapi tidak ada kes, data atau contoh yang boleh dijadikan asas kukuh untuk Kementerian Pelajaran melakukan tindakan susulan. Kita perlu perhalusi bukti dan fakta. Kalau dikatakan kerja berlebihan, maka kerja lebih yang bagaimana, apa dan di mana? Nyatakan bukti dan skop. Lakukan analisis keperluan atau analisis jurang profesion. Kemukakan kertas lengkap kepada pejabat Menteri Pelajaran.

Apakah berlebihan seandainya seorang guru diminta membuat plan tindakan kecemerlangan pelajar kalau pelan itu boleh membantu meningkatkan prestasi sesebuah sekolah? Kini sudah terdapat seramai 400,000 guru yang mendidik anak-anak kita di seluruh negara. Dalam setandan, ada sebiji yang rosak. Bukan semua. Kita faham benar dengan kekecewaan guru khususnya apabila isu tentang kenaikan gaji yang lembap disuarakan.

Memang benar kenaikan sebahagian besar gaji memang lembap berbanding PTD. Seorang ibu yang sudah 25 tahun menjadi guru mungkin baru menikmati mata gaji DG48, berbanding anaknya, pegawai PTD yang baru lima tahun berkhidmat sudah menikmati tangga gaji itu.
Untunglah kalangan guru yang cepat naik pangkat, kerana cepat jugalah kenaikan tangga gaji mereka.

Bagi yang di bawah Khusus Untuk Penyandang (KUP) atau mengikut tempoh perkhidmatan, maka terpaksalah menunggu sehingga beranak, bercucu dan bercicit. Tetapi perlulah juga diingatkan bahawa bagi setiap kenaikan gaji, maka ada beban tanggungjawab yang menyusulinya.

Maksudnya, mereka ini mungkin perlu diikat dengan konsep bai'ah. Pengetua dan guru besar mungkin sudah biasa dengan konsep bai'ah, tetapi belum bagi guru.Di bawah konsep bai'ah, pengetua atau guru besar membuat perakuan dan bersetuju bahawa dalam tempoh tiga tahun perlu ada peningkatan prestasi di sekolah mereka mengajar. Jika gagal, mereka mungkin 'dipencenkan' lebih awal.

Sekarang, guru tidak mempunyai komitmen atau akujanji terhadap pencapaian prestasi. Hal ini mungkin menyebabkan mereka goyang kaki. Memang kita faham benar akan beban kerja guru dan pada masa yang sama masyarakat menuntut guru melakukan yang terbaik untuk mendidik anak bangsa.

Namun, kalau kita percaya bahawa perbuatan baik dan kerja yang ikhlas akan dibalas dengan perkara yang baik juga, maka pasti kepentingan perjuangan kita akan mengatasi habuan dunia yang sementara ini.

pendidikan@utusan.com.my

Juragan...

Bidang kuasa beban guru dibincang!

Jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi mengkaji beban guru di seluruh negara masih lagi di peringkat perbincangan bagi menentukan anggota dan bidang kuasanya. Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom yang mempengerusikan jawatankuasa tersebut berkata, selepas perkara itu diputuskan, pihaknya akan membentangkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kita akan tentukan dahulu siapa anggota jawatankuasa tersebut, bidang kuasanya serta perangkaan kasar tindakan yang diambil kepada menteri," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Penubuhan dan Mesyuarat Agung Pertama Koperasi Yayasan Guru Malaysia Berhad di sini .

Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Wilayah Persekutuan, Abdullah Mahmood. Rabu lalu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi mengkaji beban tugas berlebihan yang ditanggung oleh guru di seluruh negara.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas kementerian mendapati aduan tersebut berasas kerana terdapat guru di beberapa buah negeri kini menghadapi beban tugas berlebihan sehingga menjejaskan tumpuan untuk mengajar.

Dalam pada itu, Alimuddin yang juga Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Guru Malaysia Berhad berkata, penubuhan koperasi tersebut membolehkan organisasi itu terus membela kebajikan 129,124 orang ahlinya.- UM

Juragan...

Sabtu, 6 Februari 2010

Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa - Guru Kali Ke-8 Sesi 2010/2011


Untuk makluman bahawa Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa - Guru kali ke 8 Sesi 2010 / 2011 akan dijalankan pada tarikh dan hari berikut:
*
Tarikh : 07 Februari 2010
Hari : Ahad
Masa : 08:00 pagi
Tempat : Dewan Seri Alam, SK Puncak Alam.
*
Kehadiran Tuan / Puan sangat-sangatlah di hargai dan diucapkan ribuan terima kasih.
*
Yang Menjalankan Tugas
MD ARRIF BIN HAIROMAN PJK. PPC. PPS. PPB
Setiausaha Kehormat
Persatuan Ibu Bapa - Guru, SK Puncak Alam.
*
Sokongan :
1. Penasihat Persatuan Ibu Bapa - Guru SK Puncak Alam
2. Yang DiPertua PIBG SK Puncak Alam, Bdr Puncak Alam