Ahad, 23 Januari 2011

PPSMI: Kerajaan diminta tidak layan desakan Page!

Kerajaan diminta tidak melayan permintaan Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (Page) yang mahu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dijadikan sebagai opsyen di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan.

Rata-rata mereka berpendapat, kerajaan perlu bertegas mengenai keputusan memansuhkan PPSMI dan menyedari tindakan Page itu hanyalah mewakili kumpulan elit di bandar, bukan keseluruhan rakyat di negara ini.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim berkata, pihaknya tetap menolak PPSMI dalam usaha memartabatkan penggunaan bahasa Melayu terutama di peringkat persekolahan.

“Kerajaan tidak perlu terpengaruh dengan desakan pihak-pihak yang mahu PPSMI diteruskan walaupun sebagai opsyen. Pelbagai kajian dan perbincangan telah dilakukan sebelum kerajaan membuat keputusan memansuhkan PPSMI berkuatkuasa 2012,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Page semalam mengulangi saranannya supaya PPSMI dijadikan sebagai opsyen di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan.

Perkara itu dinyatakan dalam memorandum yang diserahkan oleh Pengerusinya, Datin Noor Azimah Abdul Rahim kepada Datuk Seri Najib Tun Razak yang diterima oleh Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri, Mohamad Amir Harun di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Mengulas lanjut, Jais berkata, GPMS menasihatkan Page supaya tidak masuk campur sebaliknya membiarkan kerajaan membuat keputusan berhubung PPSMI.

Ketua Media Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Borhan Md. Zain berkata, pelaksanaan PPSMI hanya memberi keselesaan kepada kelompok bandar manakala pelajar luar bandar akan terus tertekan sehingga mewujudkan ketidakseimbangan bagi orang Melayu itu sendiri.

Juragan..

Kontrak 1,614 GSTT disambung!

Kementerian Pelajaran memutuskan untuk menyambung kontrak 1,614 guru sandaran tidak terlatih (GSTT) di seluruh negara yang telah tamat tempoh pada 31 Disember lalu.

Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kesemua GSTT yang akan disambung kontrak itu adalah terdiri daripada guru sandaran yang terpilih memenuhi syarat utama kelayakan iaitu berpengalaman bertugas selama tiga tahun berturut-turut.

Menurutnya, syarat lain yang perlu dipenuhi ialah bersedia untuk ditukarkan ke sekolah lain.

"Kami telah menjalankan proses saringan dan mendapati 1,614 GSTT yang terdiri daripada 338 guru sandaran sekolah rendah dan 1,276 dari sekolah menengah memenuhi syarat tersebut. Jadi kami mengambil keputusan untuk menyambung kontrak mereka.

"Untuk tujuan itu, kementerian telah mengarahkan jabatan pelajaran di setiap negeri supaya mengambil semula guru-guru sandaran ini dengan segera dan berharap mereka akan mendapat surat tawaran dalam masa terdekat,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan terkini GSTT yang masih belum disambung kontrak setelah ia tamat tempoh pada 31 Disember lalu.

Sementara itu, berhubung permintaan Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGGMMB) supaya GSTT yang berpengalaman lebih tiga tahun diberi keutamaan untuk melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan guru (IPG), Puad berkata, keutamaan sememangnya telah diberikan kepada golongan tersebut.

Bagaimanapun katanya, tidak semua guru sandaran itu boleh melanjutkan pengajian ke IPG kerana kebanyakannya tidak memenuhi syarat bidang pengkhususan dalam pendidikan di sekolah.

"Kami memberi keutamaan. Sebab itu wujudnya Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan Kursus Dalam Cuti (KDC) tetapi masalahnya ialah kebanyakan guru sandaran ini tidak memenuhi syarat pengkhususan dalam mata pelajaran di sekolah.

"Sebagai contoh, guru sandaran yang mempunyai kelulusan dalam bidang kejuruteraan sukar untuk dipilih ke IPG berbanding mereka yang mempunyai kelulusan di dalam bidang bahasa dan sejarah kerana kurang pengkhususan terhadap bidang tersebut di sekolah,'' jelasnya.

Juragan..

Tidak pernah persoal kesetiaan guru - TPM!

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah mempersoalkan kesetiaan golongan guru kepada negara.

Katanya, sebagai pemimpin di peringkat sekolah, mereka perlu sentiasa mempunyai sikap kebersamaan kepada kerajaan supaya dapat menjayakan agenda pembangunan negara terutama Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam bidang pendidikan.

"Kita tidak akan mempersoalkan kesetiaan guru-guru. Selain setia kepada negara, elok juga kita setia kepada kerajaan terutama kepada kerajaan sedia ada.

"Sebabnya guru merupakan penggerak utama dalam masyarakat, masih dihormati, diberi penilaian yang tinggi dan menjadi pemimpin dalam masyarakat. Maka, kita mahu supaya sikap untuk bersama dengan kerajaan selalu ada," katanya semasa merasmikan Program Bangkit Guru Untuk Negara (B-GUN) peringkat negeri di Dewan Seri Pekembar di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi; Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud dan Pengarah Pelajaran negeri, Markom Giran.

B-GUN merupakan program bersepadu yang dirancang bagi mengangkat martabat guru untuk membangkitkan profesionalisme, jati diri dan peranan guru bagi merealisasikan aspirasi kerajaan.

Ia juga program bersepadu yang terancang bagi mengangkat martabat guru sebagai pengamal pembelajaran berteraskan falsafah pendidikan kebangsaan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, dalam menjayakan bidang pendidikan, guru mesti sentiasa bertanggungjawab memastikan semua perancangan dalam NKRA berkenaan berjaya dicapai.

Beliau memberitahu, kanak-kanak yang berupaya menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi (linus) pada tahun lalu bertambah baik berbanding tahun sebelumnya.

"Usaha kerajaan sudah menampakkan hasil yang memberangsangkan. Walaupun baru setahun ia dilaksanakan tetapi berjaya mencatatkan kejayaan hampir mencapai 100 peratus," katanya.

Menurutnya, meskipun pada peringkat awal pelaksanaan berlaku sedikit masalah di kalangan guru dan ibu bapa, namun ia tetap dapat dilaksanakan dan menampakkan hasil yang amat baik.

"Pada peringkat awal pelaksanaan program linus, ramai ibu bapa yang tidak memahami program ini dan risau. Tetapi, sekarang kita menerima maklum balas yang baik dengan ada yang mengatakan anak-anak mereka sudah pandai membaca," katanya.

Juragan..