Isnin, 26 April 2010

PIBGN gesa wujud skim gaji pengawal sekolah!


Ramai individu tak berkelayakan jaga keselamatan murid

Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) mencadangkan satu skim penyelarasan gaji untuk pengawal keselamatan sekolah diwujudkan bagi memastikan hanya yang terlatih dan mempunyai kelayakan secukupnya dipilih.

Pengerusinya, Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, mendedahkan ketika ini kebanyakan pengawal keselamatan sekolah hanya dipilih secara tangkap muat, tanpa mengira latar belakang dan fizikal individu sehingga mendatangkan pelbagai masalah kepada pihak sekolah dan ibu bapa.

Katanya, pemilihan pengawal keselamatan perlu diberi perhatian serius kerana tanggungjawab yang digalas adalah besar membabitkan keselamatan warga sekolah, selain ibu bapa menaruh harapan besar terhadap pengawal sekolah.

“Namun, senario yang berlaku hari ini adalah berbeza kerana mereka yang dipilih dibuat tanpa penelitian terlebih dulu atau mengira faktor penting termasuk umur, fizikal dan kelayakan pendidikan.

“Mereka yang dipilih bergantung sepenuhnya kepada guru besar dan pengetua sekolah masing-masing. Ada dipilih di kalangan penduduk sekampung hanya kerana mengenali guru di sekolah walaupun umur sudah dikategorikan sebagai warga emas,” katanya kepada Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kebanyakan ibu bapa mendakwa sekolah sudah menjadi lokasi tidak selamat untuk anak-anak mereka selepas satu insiden membabitkan murid Tahun Satu dicabul pengawal keselamatan sekolah sendiri di Rawang, baru-baru ini.

Mohamad Ali berkata, masalah yang ditimbulkan pengawal keselamatan tidak akan berkesudahan sekiranya satu skim penyelarasan gaji tidak diwujudkan oleh kerajaan seperti yang dilakukan pengawal keselamatan di universiti.

“Bayangkan, sekurang-kurangnya 7,000 pengawal keselamatan membabitkan sekolah rendah dan menegah di negara ini, pemilihan dan gaji mereka ditentukan sekolah masing-masing tanpa pemantauan Kementerian Pelajaran.

“Justeru itu, sekiranya skim baru diwujudkan, gaji dan pengambilan akan melalui Kementerian Pelajaran dan mereka yang dipilih semestinya mempunyai kelayakan secukupnya termasuk menempatkan anggota Rela di sekolah,” katanya.

Juragan..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan